Sunday, 12 October 2014
KEBAIKAN MENDERMA DARAH
1. Tahukah anda, tindakan menderma darah akan mengurangkan paras zat besi di dalam darah. Zat besi adalah oksidan yang akan meningkatkan radikal bebas di dalam tubuh. Setiap kali anda menderma darah, anda akan mengeluarkan sebahagian daripada zat besi dari badan. Ada kajian menunjukkan zat besi berlebihan akan mempercepatkan pengoksidanan (oksidasi) kolesterol, satu proses yang dianggap boleh menyebabkan kerosakan salur darah dan akhirnya mengakibatkan penyakit kardiovaskular (serangan jantung dan strok).
2. Pendermaan darah boleh merangsang badan menghasilkan lebih banyak darah baru. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan taraf kesihatan penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan membawa oksigen yang jauh lebih baik berbanding sel lama.Ini menyebabkan ramai yang menderma darah akan berasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah.
3. Selain itu secara psikologi, penderma darah sebenarnya berasa lebih tenang kerana mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ujian darah akan dilakukan ke atas semua penderma setiap kali mereka menderma darah; walaupun mereka adalah penderma tetap. Ini adalah langkah untuk memastikan semua darah diderma adalah selamat dan tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan penerima.
4. Tidak perlu bimbang kemungkinan masalah kekurangan darah kerana ia tidak akan berlaku. Setiap hari badan kita akan menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel yang mati akibat ´tua.
5. Isu keselamatan seperti kemungkinan mendapat penyakit berjangkit juga tidak timbul kerana proses pengambilan darah adalah selamat dan dilakukan dengan berhati-hati. Banyak langkah keselamatan diambil untuk kebaikan anda dan bakal penerima darah. Semua peralatan seperti jarum baru, bersih dan steril akan digunakan bagi setiap penderma dan jarum yang sudah digunakan akan dibuang. Jadi tiada kemungkinan jarum ini terkena penderma lain.
“Satu unit darah (antara 300 hingga 450 mililiter) dapat menyelamatkan nyawa mangsa demam denggi, kemalangan (yang kehilangan banyak darah), ibu yang tumpah darah ketika bersalin, pesakit talassemia, anemia, leukemia dan haemofilia, mangsa kebakaran serta bayi yang perlu menjalani pertukaran darah.
Apabila anda menderma darah, tidak perlu fikir siapa penerimanya atau bagaimana ia akan digunakan. Setiap hari ada saja orang memerlukan darah untuk menyambung hidup. Darah yang diderma boleh disimpan selama 42 hari dalam peti dingin beku sebelum diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, Faktor VIII dan IX - semuanya ada kegunaan tersendiri.
Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talassemia, leukemia, orang yang kehilangan darah (mangsa kemalangan, kebakaran, pembedahan) dan kekurangan darah (anemia). Manakala produk darah seperti plasma beku segar dan Faktor VIII serta IX untuk pesakit haemofilia.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment